KUCHING: Kawasan Tanjung Embang dipilih sebagai lokasi Lapangan Terbang Antarabangsa Sarawak, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, pemilihan itu bagi mengelak penerbangan dan pendaratan kapal terbang menerusi ruang udara negara jiran, Indonesia yang mana berkemungkinan menimbulkan masalah nanti.
“Pada mulanya, kita hendak membina lapangan terbang di Matang, tetapi jika dibuat di Matang berdasarkan ketinggian mengikut aturan antarabangsa, semuanya okay.
“Tetapi, ia akan melibatkan ruang udara negara lain, kita terpaksa meminta izin dan membayar harga tertentu kerana di Matang, kapal terbang terpaksa mendarat melalui ruang udara Indonesia, iaitu Kalimantan dan perkara ini akan ada masalah lain nanti.
“Akhirnya, kita memilih kawasan Tanjung Embang untuk menjadi lokasi lapangan terbang baharu ini nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini.
Mengenai pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings, Abang Johari berkata, Sarawak akan mempunyai kuasa untuk mengawal harga tiket penerbangan, yang mana sebelum ini ditentukan oleh syarikat penerbangan lain.
“Mengharapkan syarikat-syarikat penerbangan yang lain, semua tiket penerbangannya mahal, siapa yang hendak ke Sarawak kalau tiketnya sentiasa mahal, tetapi tiada pilihan yang lain sebab harga ditentukan mereka sahaja.
“Sebab itulah, kita memutuskan untuk mengambil alih MASwings sebagai syarikat milik Sarawak,” ujar beliau.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib-Naib Yang di-Pertua Kanan Parti, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr Stephen Rundi, Naib Yang di-Pertua Parti, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi Tetap Parti, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Agung Parti, Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta pemimpin Majlis Tertinggi (MT) parti.